Translate

Memaparkan catatan dengan label Alor Gajah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alor Gajah. Papar semua catatan

Isnin, 5 Ogos 2013

KEMBARA JALAN LAMA - BAHAGIAN 2


Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian 1. Mari kita teruskan pengembaraan ke selatan tanah air! Setelah penat semalam memandu dari Perak ke Selangor dan ke Negeri Sembilan. Sekarang, kita teruskan perjalanan ke Melaka dari Negeri Sembilan.

Dataran Seri Kemang
Selepas daftar keluar pada jam 12 tengah hari, aku singgah di Dataran Seri Kemang (Dataran Teluk Kemang). Dari hotel ke Dataran Seri Kemang tidaklah jauh. Hanya 2 minit masa perjalanan diperlukan. Dataran ini terletak di Pantai Teluk Kemang dan merupakan dataran terbesar di Port Dickson. Jika datang ke sini pada hujung minggu pasti meriah kerana disini terdapat perlbagai kemudahan disediakan seperti kedai makan, pondok rehat, tandas awam, pentas dan kedai cenderamata. Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti menunggang kuda, banana boat, jet ski dan berkayak.

Suasana Pantai Teluk Kemang Ketika Ramadan

Bersebelahan dengan Dataran Seri Kemang adalah PD Wellness Centre. Ia merupakan tarikan baru kepada pengunjung selaras dengan pengiktirafan Port Dickson sebagai PD Wellness Zone. Terdapat pelbagai kemudahan seperti refleksiologi, kemudahan alat senaman, laluan pejalan kaki dan sebagainya.

 Zon Refleksiologi


Arca Tapak Sulaiman

Jeti Tanjung Agas
Jeti Tanjung Agas boleh dijadikan sebagai tempat memancing ikan. Semasa aku sampai di sini, ada beberapa orang sedang memancing. Jeti ini terletak di tebing Sungai Linggi dan bersebelahan dengan sebuah restoran. Sungai Linggi merupakan sungai persempadanan diantara Melaka dan Negeri Sembilan. Jika kita menuju ke Melaka maka jeti ini berada disebelah kiri. Kawasan ini boleh dilalui dengan menggunakan jalan lama dari Port Dickson ke Melaka. 

 Sungai Linggi

Sungai ini bebas daripada pencemaran. Airnya hijau dan tidak berlumpur. Tidak ada sampah di dalam sungai ini. Di tebing pun tidak ada sampah yang sangkut pada akar pokok bakau. Berbeza dengan pemandangan sungai di sekitar Port Klang. Sebab itu aku rasa sungai ini boleh memberikan hasil yang lumayan kepada kaki-kaki pancing. Menurut seorang kaki pancing yang selalu memancing di sini, sepanjang beliau memancing di sini, beliau telah berjaya menaikkan ikan senangin dan ikan sembilang. 

Aku?

Makam Hang Tuah
Perjalanan diteruskan ke Makam Hang Tuah. Aku rasa jika kita datang ke Melaka dari lebuhraya, tempat ini mungkin kita tidak akan lawat. Makam ini dipercayai Makam Hang Tuah, terletak di dalam kawasan tanah perkuburan Kampung Tanjung Keling, Melaka. Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah hilang begitu sahaja dan ada pula yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Menurut Sejarah Melayu, naskah tulisan Tun Seri Lanang, yang dianggap sahih di dalam pengkisahan Sejarah Melayu, Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Keling dengan penuh adat istiadat dan Nobat Diraja tidak dimainkan selama tiga hari.

Pintu Masuk

Arca Bertulis "Tak Melayu Hilang Di Dunia"

Makam Hang Tuah


Z Hotel
Perjalanan diteruskan ke bandar Melaka untuk mencari tempat menginap. Satu Banda Hilir aku pusing untuk mencari hotel murah. Jika tinggal di Banda Hilir, lebih mudah untuk melawat tempat-tempat yang menarik dengan berjalan kaki daripada memandu kereta. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menginap di Z Hotel dengan kadar MYR70 semalam. Hotel ini terletak di sebelah Mahkota Parade. 

Pandangan Dari Luar

Tema hotel ini adalah hitam dan kuning. Jadi, mudah sahaja jika ingin mencari hotel ini kerana keseluruhan bangunan dicat dengan warna hitam. Hotel ini sangat ringkas, selesa dan bersih. Aku sangat mencadangkan hotel ini kepada sesiapa yang akan datang ke Melaka.

Lobi

 Bilik Strandard

Rak, LCD Dan Air Mineral

Alor Gajah
Pekan Alor Gajah sudah tidak asing bagi aku. Tujuan aku datang ke sini kerana ingin mengunjungi bazar dan membeli juadah berbuka puasa. Ini adalah salah satu bazar yang terbesar dan paling dikunjungi di Alor Gajah. Makanan kegemaran aku di sini adalah nasi lemak kukus kerana sambalnya sangat sedap dan sangat istimewa. Lain daripada yang lain! Di sini juga anda boleh mendapatkan bermacam jenis air katira yang sangat terkenal di Johor. 

Sempat Tangkap Gambar Banner Sahaja

Pantai Pengkalan Balak
Selesai membeli makanan di Alor Gajah, aku meneruskan perjalanan ke Pantai Pengkalan Balak untuk mencari lokasi berbuka puasa. Pantai Pengkalan Balak merupakan kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara. Pesisir pantainya yang luas serta keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya amat damai dan permai. Pantai yang popular dengan pelbagai jenis chalet persendirian ini memberikan peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk menginap dan menikmati suasan yang permai. Pantai ini merupakan sebuah salah satu pantai yang terkenal di negeri Melaka. 

Kali Ini Tiada Matahari Terbenam

Aku?

Pantai Padang Kemunting
Niat di hati ingin berbuka di Pantai Pengkalan Balak. Tetapi, terpaksa dibatalkan kerana tiada tempat yang sesuai. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berbuka di Pantai Padang Kemunting. Pantai ini sangat jarang dikunjungi oleh orang luar kerana tidak dipromosikan seperti pantai-pantai lain di Melaka. Untuk pengetahuan, Pusat Pengurusan Penyu juga ada di pantai ini yang diuruskan di bawah Jabatan Perikanan dengan kerjasama WWF.

Ombak Kuat Pada Petang Tersebut


Tidak seperti di Pantai Pasir Panjang, Segari. Di sini hanya Penyu Karah yang datang bertelur sekitar bulan Mac hingga September. Jadi anda akan berpeluang menyaksikan sendiri penyu karah bertelur di samping melihat khazanah penyu di bilik pameran yang terdapat di Pusat Pengurusan Penyu ini.

Aku Memang Suka Datang Ke Pantai Untuk Mencari Kulit Kerang / Siput

Untuk sampai kesini mudah sahaja. Papan tanda Pusat Pengurusan Penyu ini akan kelihatan jika anda betul-betul menghala ke Pantai Pengkalan Balak.  Sebelum sampai ke pantai akan ada satu simpang ke kiri. Ikut sahaja papan tanda yang telah disediakan. Inilah lokasi yang paling sesuai untuk berbuka puasa kali ini!

Banda Hilir
Info: Bandar Hilir merupakan sebuah kawasan pelancongan yang sangat popular di Melaka. Kawasan ini terletak di dalam daerah Melaka Tengah bersebelahan dengan Banda Kaba dan Melaka Raya. Ini adalah kawasan yang wajib dilawati. Wajib! Sebenarnya, sebelum aku pergi ke Alor Gajah, selepas daftar masuk hotel, aku telah berjalan-jalan di sekitar A Famosa (Porta De Santiago), Muzium Sastera, Galeri Seni PERZIM, Muzium Islam Melaka, sungai Melaka, Kincir Air, Muzium Samudera, Muzium TLDM dan Stadthuys. Malangnya, Stadthuys ditutup untuk kerja-kerja naik taraf.

 Arrggg Dinasour!

 Jom, Siapa Nak Ikut?

 Lama Tetapi Unik

 Jom Balik Kampung!

Perkarangan Muzium Islam Melaka

 Kincir Air Sungai Melaka

 Waterfront

 Sungai Melaka

 Muzium TLDM Dan Menara Taming Sari

Muzium Samudera

Selepas balik dari Pantai Padang Kemunting, aku memulakan pengembaraan malam sekitar Banda Hilir. Suasana sangat berbeza jika ingin dibandingkan pada waktu siang.







Sekian cerita Kembara Jalan Lama - Bahagian 2. Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian Akhir. Selamat mengembara aku ucapkan kepada anda semua.