Translate

Memaparkan catatan dengan label Negeri Sembilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Negeri Sembilan. Papar semua catatan

Selasa, 6 Ogos 2013

KEMBARA JALAN LAMA - BAHAGIAN AKHIR


Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian 2. Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian 1. Jom balik dan menyambut Hari Raya di rumah bersama keluarga!

Masjid Selat Melaka
Selesai daftar keluar dari Z Hotel. Aku teruskan perjalanan pulang ke Selangor. Tetapi, sebelum aku tinggalkan Melaka. Aku singgah sekejap di Masjid Selat iaitu salah satu masjid terapung yang terdapat di sini. Untuk pengengetahuan, masjid ini terletak di pulau buatan manusia berhampiran dengan pusat bandar. Semasa air pasang, paras air meningkat kepada asas bangunan dan memberi gambaran bahawa masjid itu berdiri betul-betul di air. Masjid ini telah dirasmikan pada 24 November 2006 oleh Raja Agong Malaysia (Yang di-Pertuan Agong) Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. Bagi aku, masjid ini telah menjadi tarikan utama di bandar Melaka.


 Ada ciri-riri senibina Cina

Pandangan sisi 

Pintu gerbang menghadap ke laut

Sungguh nyaman terasa ketika berada di dalam dewan solat disebabkan oleh tiupan bayu laut. Perasaan aku ketika itu sukar untuk digambarkan. 

Nilai 3
Seterusnya, aku singgah di Nilai 3 yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan. Siapa yang tidak tahu dengan tempat ini? Pasar Borong Nilai 3 merupakan Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi jualan borong, dan syurga membeli belah kepada para pelancong yang menawarkan pelbagai barangan dan pakaian pada harga yang berpatutan. Semua ada disini! Tikar, bunga hiasan, langsir, pasu, baju, perabot dan macam-macam lagi.

Borong Nilai 3 boleh dikunjungi melalui susur keluar di laluan Lebuh Raya Utara – Selatan (ambil susur keluar ke Nilai / Pajam / KLIA). Jarak dari Kuala Lumpur ialah 45 km, dari KLIA 25 km, dan dari Tol Nilai hanya 7 km. Pasar Borang Nilai 3 juga boleh dikunjungi melalui Lebuh Raya LEKAS. Jarak dari persimpangan Lebuh Raya LEKAS adalah 8 km. Saja aku singgah disini. Bukan selalu ada peluang datang ke sini. Mana tahu boleh beli kain langsir baru untuk Hari Raya kali ini.

Pekan Dengkil
Penat cuci mata di Nilai 3, aku teruskan perjalan ke Utara. Waktu berbuka puasa semakin menghampiri. Akhirnya sampai juga aku di pekan Dengkil. Disini terdapat satu bazar Ramadhan yang agak meriah. Aku singgah untuk membeli makanan dan air untuk berbuka nanti. Harganya murah, menarik dan berpatutan. Makanannya pula menarik, pelbagai dan segar.

Pantai Morib
Selesai membeli makanan di pekan Dengkil, aku teruskan perjalanan melalui jalan lama. Dari Dengkil aku dibawa ke Banting seterusnya ke destinasi terakhir kembara kali ini iaitu Pantai Morib. Pantai Morib merupakan tempat riadah yang sesuai bersama keluarga. Terdapat hotel, padang golf, rumah rehat dan kemudahan asas yang lain disediakan disini. Pengangkutan awam juga mudah didapati kerana ia terletak berhampiran rangkaian jalan raya Bandar Klang, Banting, Sepang dan Port Dickson di Negeri Sembilan. Pengangkutan awam seperti bas dan teksi dapat diperolehi di Bandar Banting. Jika lapar, dapatkan makanan di gerai-gerai makanan disini. Bagi mereka yang gemar akan aktiviti luar seperti perkhemahan, anda bolehlah datang berkhemah disini.

Kali ini aku gagal untuk menyaksikan matahari terbenam kerana langit agak berawan. Tetapi aku tetap bersyukur kerana sempat sampai seterusnya dapat berbuka puasa disini. Petang itu ombak dan angin sangat kuat, membuatkan aku seditkit teruja!

Sekian cerita Kembara Jalan Lama - Bahagian Akhir. Selamat mengembara aku ucapkan kepada anda semua.

Isnin, 5 Ogos 2013

KEMBARA JALAN LAMA - BAHAGIAN 2


Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian 1. Mari kita teruskan pengembaraan ke selatan tanah air! Setelah penat semalam memandu dari Perak ke Selangor dan ke Negeri Sembilan. Sekarang, kita teruskan perjalanan ke Melaka dari Negeri Sembilan.

Dataran Seri Kemang
Selepas daftar keluar pada jam 12 tengah hari, aku singgah di Dataran Seri Kemang (Dataran Teluk Kemang). Dari hotel ke Dataran Seri Kemang tidaklah jauh. Hanya 2 minit masa perjalanan diperlukan. Dataran ini terletak di Pantai Teluk Kemang dan merupakan dataran terbesar di Port Dickson. Jika datang ke sini pada hujung minggu pasti meriah kerana disini terdapat perlbagai kemudahan disediakan seperti kedai makan, pondok rehat, tandas awam, pentas dan kedai cenderamata. Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti menunggang kuda, banana boat, jet ski dan berkayak.

Suasana Pantai Teluk Kemang Ketika Ramadan

Bersebelahan dengan Dataran Seri Kemang adalah PD Wellness Centre. Ia merupakan tarikan baru kepada pengunjung selaras dengan pengiktirafan Port Dickson sebagai PD Wellness Zone. Terdapat pelbagai kemudahan seperti refleksiologi, kemudahan alat senaman, laluan pejalan kaki dan sebagainya.

 Zon Refleksiologi


Arca Tapak Sulaiman

Jeti Tanjung Agas
Jeti Tanjung Agas boleh dijadikan sebagai tempat memancing ikan. Semasa aku sampai di sini, ada beberapa orang sedang memancing. Jeti ini terletak di tebing Sungai Linggi dan bersebelahan dengan sebuah restoran. Sungai Linggi merupakan sungai persempadanan diantara Melaka dan Negeri Sembilan. Jika kita menuju ke Melaka maka jeti ini berada disebelah kiri. Kawasan ini boleh dilalui dengan menggunakan jalan lama dari Port Dickson ke Melaka. 

 Sungai Linggi

Sungai ini bebas daripada pencemaran. Airnya hijau dan tidak berlumpur. Tidak ada sampah di dalam sungai ini. Di tebing pun tidak ada sampah yang sangkut pada akar pokok bakau. Berbeza dengan pemandangan sungai di sekitar Port Klang. Sebab itu aku rasa sungai ini boleh memberikan hasil yang lumayan kepada kaki-kaki pancing. Menurut seorang kaki pancing yang selalu memancing di sini, sepanjang beliau memancing di sini, beliau telah berjaya menaikkan ikan senangin dan ikan sembilang. 

Aku?

Makam Hang Tuah
Perjalanan diteruskan ke Makam Hang Tuah. Aku rasa jika kita datang ke Melaka dari lebuhraya, tempat ini mungkin kita tidak akan lawat. Makam ini dipercayai Makam Hang Tuah, terletak di dalam kawasan tanah perkuburan Kampung Tanjung Keling, Melaka. Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah hilang begitu sahaja dan ada pula yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Menurut Sejarah Melayu, naskah tulisan Tun Seri Lanang, yang dianggap sahih di dalam pengkisahan Sejarah Melayu, Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Keling dengan penuh adat istiadat dan Nobat Diraja tidak dimainkan selama tiga hari.

Pintu Masuk

Arca Bertulis "Tak Melayu Hilang Di Dunia"

Makam Hang Tuah


Z Hotel
Perjalanan diteruskan ke bandar Melaka untuk mencari tempat menginap. Satu Banda Hilir aku pusing untuk mencari hotel murah. Jika tinggal di Banda Hilir, lebih mudah untuk melawat tempat-tempat yang menarik dengan berjalan kaki daripada memandu kereta. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menginap di Z Hotel dengan kadar MYR70 semalam. Hotel ini terletak di sebelah Mahkota Parade. 

Pandangan Dari Luar

Tema hotel ini adalah hitam dan kuning. Jadi, mudah sahaja jika ingin mencari hotel ini kerana keseluruhan bangunan dicat dengan warna hitam. Hotel ini sangat ringkas, selesa dan bersih. Aku sangat mencadangkan hotel ini kepada sesiapa yang akan datang ke Melaka.

Lobi

 Bilik Strandard

Rak, LCD Dan Air Mineral

Alor Gajah
Pekan Alor Gajah sudah tidak asing bagi aku. Tujuan aku datang ke sini kerana ingin mengunjungi bazar dan membeli juadah berbuka puasa. Ini adalah salah satu bazar yang terbesar dan paling dikunjungi di Alor Gajah. Makanan kegemaran aku di sini adalah nasi lemak kukus kerana sambalnya sangat sedap dan sangat istimewa. Lain daripada yang lain! Di sini juga anda boleh mendapatkan bermacam jenis air katira yang sangat terkenal di Johor. 

Sempat Tangkap Gambar Banner Sahaja

Pantai Pengkalan Balak
Selesai membeli makanan di Alor Gajah, aku meneruskan perjalanan ke Pantai Pengkalan Balak untuk mencari lokasi berbuka puasa. Pantai Pengkalan Balak merupakan kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara. Pesisir pantainya yang luas serta keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya amat damai dan permai. Pantai yang popular dengan pelbagai jenis chalet persendirian ini memberikan peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk menginap dan menikmati suasan yang permai. Pantai ini merupakan sebuah salah satu pantai yang terkenal di negeri Melaka. 

Kali Ini Tiada Matahari Terbenam

Aku?

Pantai Padang Kemunting
Niat di hati ingin berbuka di Pantai Pengkalan Balak. Tetapi, terpaksa dibatalkan kerana tiada tempat yang sesuai. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berbuka di Pantai Padang Kemunting. Pantai ini sangat jarang dikunjungi oleh orang luar kerana tidak dipromosikan seperti pantai-pantai lain di Melaka. Untuk pengetahuan, Pusat Pengurusan Penyu juga ada di pantai ini yang diuruskan di bawah Jabatan Perikanan dengan kerjasama WWF.

Ombak Kuat Pada Petang Tersebut


Tidak seperti di Pantai Pasir Panjang, Segari. Di sini hanya Penyu Karah yang datang bertelur sekitar bulan Mac hingga September. Jadi anda akan berpeluang menyaksikan sendiri penyu karah bertelur di samping melihat khazanah penyu di bilik pameran yang terdapat di Pusat Pengurusan Penyu ini.

Aku Memang Suka Datang Ke Pantai Untuk Mencari Kulit Kerang / Siput

Untuk sampai kesini mudah sahaja. Papan tanda Pusat Pengurusan Penyu ini akan kelihatan jika anda betul-betul menghala ke Pantai Pengkalan Balak.  Sebelum sampai ke pantai akan ada satu simpang ke kiri. Ikut sahaja papan tanda yang telah disediakan. Inilah lokasi yang paling sesuai untuk berbuka puasa kali ini!

Banda Hilir
Info: Bandar Hilir merupakan sebuah kawasan pelancongan yang sangat popular di Melaka. Kawasan ini terletak di dalam daerah Melaka Tengah bersebelahan dengan Banda Kaba dan Melaka Raya. Ini adalah kawasan yang wajib dilawati. Wajib! Sebenarnya, sebelum aku pergi ke Alor Gajah, selepas daftar masuk hotel, aku telah berjalan-jalan di sekitar A Famosa (Porta De Santiago), Muzium Sastera, Galeri Seni PERZIM, Muzium Islam Melaka, sungai Melaka, Kincir Air, Muzium Samudera, Muzium TLDM dan Stadthuys. Malangnya, Stadthuys ditutup untuk kerja-kerja naik taraf.

 Arrggg Dinasour!

 Jom, Siapa Nak Ikut?

 Lama Tetapi Unik

 Jom Balik Kampung!

Perkarangan Muzium Islam Melaka

 Kincir Air Sungai Melaka

 Waterfront

 Sungai Melaka

 Muzium TLDM Dan Menara Taming Sari

Muzium Samudera

Selepas balik dari Pantai Padang Kemunting, aku memulakan pengembaraan malam sekitar Banda Hilir. Suasana sangat berbeza jika ingin dibandingkan pada waktu siang.







Sekian cerita Kembara Jalan Lama - Bahagian 2. Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian Akhir. Selamat mengembara aku ucapkan kepada anda semua.

Ahad, 4 Ogos 2013

KEMBARA JALAN LAMA - BAHAGIAN 1


Rancangan asal aku ingin pergi ke Cameron Highlands. Tetapi terpaksa dibatalkan kerana aku akan pergi ke Cameron Highlands pada 16/8/2013 ini bersama dengan rakan sekelas dan pensyarah. Kemudian aku terfikir Pulau Pangkor! Mungkin lain hari fikir aku kerana aku ingin menjelajah tanah besar.  Jadi aku terpaksa membuat pilihan samada ingin pergi ke selatan atau ke pantai timur. Jika anda bijak, cuba teka mana aku pergi? Jawapannya adalah ke selatan! Syaratnya adalah 100% ikut jalan lama. Apa kelebihan ketika memandu ikut jalan lama? Cubalah korang teka. Mari aku cerita. Kelebihannya adalah tiada tol! Untuk info, jika kita memandu disepanjang jalan lama, kita akan mudah jumpa tempat-tempat menarik yang tidak mungkin kita tahu. Tempat yang tidak dihebohkan didalam laman sesawang pelancongan. Jika tidak percaya cubalah sendiri sekarang!

Pusat Pengurusan Penyu
Percaya atau tidak di Perak ada penyu singgah untuk bertelur! Pusat Pengurusan Penyu ini terletak di Pantai Pasir Panjang, Segari. Kebetulan kali ini aku mengambil keputusan untuk mengikut jalan di pesisir pantai ke selatan. Jadi, aku singgah ke pusat ini untuk melihat penyu. Itupun setelah aku ternampak papan tanda di bahu jalan. Jika dahulu kita ingin melihat penyu, kita mesti terfikirkan Terengganu yang terletak di pantai timur tanah air. Tetapi sekarang tidak lagi. Perak pun ada tempat sebegini. Untuk sampai ke tempat ini dari jalan utama, aku terpaksa menempuh ladang kelapa sawit. Jangan risau, anda tidak akan sesat kerana papan tanda disediakan sebagai panduan.

Replika Penyu Agar

Pusat Pengurusan Penyu ini telah dibina pada tahun 1990 di atas keluasan tapak berukuran 0.1 ekar. Kajian kesesuaian tapak telah pun bermula pada pertengahan tahun 1989 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan dan WWF. Pada tahun 1992 keluasan 10 ekar tanah telah dipohon dan seluas 5.5 ekar telah diluluskan di atas rezab Jabatan Perikanan oleh Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1994. Pada umumnya, terdapat 2 jenis penyu yang mendarat di kawasan Pusat Pengurusan Penyu Segari, iaitu Penyu Agar dan Penyu Lipas. Penyu ini mendarat pada sekitar bulan Mac hingga Julai setiap tahun.

Penyu Agar

Tangki Asuhan


Papan Notis


Tabik Spring Kepada Jabatan Perikanan Malaysia

Bazar Ramadan
Seterusnya, aku singgah di bazar Ramadan yang terletak di pekan Kuala Selangor. Untuk info, ini adalah bazar Ramadhan yang terbesar di Kuala Selangor terbentang di sepanjang jalan di hadapan Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sehingga ke bangunan IADA Barat Laut Selangor. Hebat kan?

Juadah yang istimewa? Ermmmmm... Kelihatannya seperti kebanyakan makanan yang ada disini boleh di dapati di bazar Ramadhan tempat lain. Maksudnya tiada menu yang hanya boleh di dapati di sini sahaja.

Pantai Remis
Bukan Pantai Remis, Perak. Tetapi  Pantai Remis, Kuala Selangor. Pantai Remis, Perak adalah sebuah pekan dalam daerah Manjung manakala Pantai Remis, Selangor adalah pantai yang terletak di Kuala Selangor. Tetapi pantai ini tidak sesuai untuk aktiviti air kerana ianya berlumpur. Kepada penggemar makanan laut, disini terdapat gerai menjual pelbagai jenis makanan laut seperti kerang, mentarang, kupang, remis dan ikan segar. Ikan bakar adalah menu yang popular disini. Aktiviti lain yang anda boleh lakukan adalah bermain layang-layang dan memancing.

Jadi, inilah lokasi berbuka puasa aku pada kali ini. Tidak ada apa yang lebih indah berbuka puasa sambil menikmati keindahan matahari terbenam!

Hotel Mesra
Perjalanan di teruskan ke Port Dickson. Malam ini aku menginap di Hotel Mesra. Hotel ini terletak di Teluk Kemang, Port Dickson. Harga untuk semalam adalah sebanyak MYR60 sahaja. Aku sampai di sini agak lewat. Disebabkan kepenatan yang melampau serta mengantuk, aku terpaksa tidur di sini.

Sekian cerita Kembara Jalan Lama - Bahagian 1. Klik disini untuk membaca Kembara Jalan Lama - Bahagian 2. Selamat mengembara aku ucapkan kepada anda semua.